Woo Nina Grace, 19, hanya berdiri kira-kira 5 minit di depan mikrofon ketika mendapat peluang bertanya soalan kepada pendakwah terkenal Dr Zakir Naik.
Bergaya santai dengan kemeja T lengan panjang dan seluar denim, pelajar sebuah kolej di Kemaman itu tampil dengan soalan mudah.
“Saya membaca al-Fatihah, Tiga Qul dan ayat Kursi. Adakah saya tidak hormat pada Islam?” soalnya remaja asal Filipina itu.
Tiada siapa menyangkanya perbualan ringkas itu akan membawanya kepada Islam, tambahan lagi dalam tempoh masa seringkas itu.
Zakir, yang siri ceramahnya mendapat tentangan kumpulan bukan Islam di negara ini, kemudian menjawab sama ada beliau percaya pada satu tuhan.
Woo menjawab “ya”. Kemudian Zakir bertanya lagi sama ada beliau percaya Jesus itu tuhan. Woo menjawab “Tidak”.
Dan soalan terakhir, beliau ditanya sama ada percaya bahawa Nabi Muhammad utusan tuhan.
Woo menjawab “ya”.
40,000 hadirin
Ketika itu tepukan mula kedengaran di kalangan 40,000 peserta ceramah itu. Wanita bertudung yang menunggu giliran bertanya di belakangnya kelihatan tersenyum.Ketika Woo masih berdiri di depan mikrofon, Zakir kemudian menjelaskan bahawa orang Islam bermakna menyerah diri kepada tuhan.
Beliau juga berkata dengan mengakui Allah itu Esa dan Muhammad sebagai utusan-Nya, beliau sudah boleh dianggap sebagai orang Islam.
“Sister, kamu mahu katakan itu (syahadah) dalam bahasa Arab?” tanya Zakir yang tampil berkopiah putih, bertali leher dan memakai kot.
Woo cuma tersenyum. Pada masa yang sama, ramai hadiri kelihatan menjawab “yes, yes yes”.
“Kamu baca Tiga Qul, kamu baca al-Fathihah, kenapa tidak kamu baca syahadah?
“Menyucap syahadah bermaksud, aku nak saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, satu tuhan. Dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad utusan Allah,” jelas Zakir.
Doakan syurga
Zakir kemudian mengulangi pengakuan Woo sebelum itu dan bertanya sama ada beliau mahu mengucapkannya dalam bahawa Arab.Diam seketika, Woo kemudian tersenyum, menerkup mulut dan menjawab: “Insya-Allah”
Kemudian tibalah detik bersejarah itu, Zakir membimbing Woo mengucapkan syahadah. Ketika itu bunyi kamera menangkap gambarnya semakin meriah.
Selesai sahaja detik itu, seorang Muslimah di belakangnya tadi tampil memeluknya, diikuti seorang lagi peserta di bahagian hadapan.
Zakir mendoakan Woo diberikan ganjaran jannah (syurga) oleh Allah SWT, yang kemudian disambut senyuman gadis itu.
Acara di Padang Astaka, Kemaman, itu mungkin pengislaman secara terbuka disaksikan paling ramai saksi pernah dirakamkan di Malaysia.
Bagaimanapun, usaha pihak media untuk menemu bual gadis itu terganggu seketika apabila dilapor dihalang urus setia.
Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/337966
0 Comments